Post info


Comments 2


Author: f_24434

Di pelosok Khurasan ada seorang lelaki miskin hidup bersama isteri dan anaknya. Ia mendengar khalifah membahagi-bahagikan barang bantuan pada segenap rakyatnya yang miskin. Namun entah kenapa barang bantuan itu tidak sampai kepadanya. Mungkin para petugas yang membahagi barang bantuan itu terlalu tamak sehingga barang bantuan itu tidak sampai kepada yang berhak seperti dirinya.

Tiba-tiba terlintas dalam fikirannya untuk menghadap khalifah di ibu kota. Ia ingin meminta bantuan terus dari raja. Bantuan itu sangat ia perlukan. Anaknya yang paling bongsu sedang sakit demam panas dan perlu dibawa ke tabib(doktor).

Akhirnya berangkatlah ia ke ibu kota dengan menunggang keldai yang ia pinjam dari tetangganya. Ketika malam tiba, ia menginap di sebuah masjid di sebuah kota kecil tak jauh dari ibukota. Ia ingin istirehat sesaat, dan keesokan paginya hendak menghadap khalifah.

Selesai solat subuh, ia keluar dari masjid dan mendapati keldainya hilang. Hatinya sedih bukan main. Siapa yang sanggup mencuri keldai yang dipinjam dari tetangganya. Alangkah sanggup pencuri itu mengambil harta orang yang miskin.

Dengan langkah yang lemah, ia menuju ke istana raja.

Sebaik sampai di gerbang istana, seorang pengawal menahannya dan bertanya,

"Mahu apa kamu?"

"Aku mahu masuk menemui khalifah."

"Kenapa?"

"Aku dari sebuah kampung di Khurasan, aku mahu minta bantuan dan pertolongan daripada khalifah."

"Baiklah, aku mengizinkanmu menemui Khalifah tapi dengan satu syarat!"

"Apa syaratnya?"

"Aku mahu separuh daripada apa yang kau minta. Jika tidak, aku tidak benarkan kau melangkah masuk!"

"Baiklah kalau begitu."

Orang miskin itu masuk dengan hati yang pedih. Rakyat kecil seperti dirinya masih juga diperas ugut. Belum dapat apa yang diminta tetapi sudah diperas dengan tidak semena2.

Akhirnya ia sampai ke pintu kedua yang menghubungkan balairung istana. Ia hendak masuk, namun seorang penjaga mengherdiknya dengan suara keras!

"Hei siapa kamu?! dan apa yang kamu mahu?"

"Aku rakyat negeri ini dan aku mahu menemui khalifah."

"Baiklah, aku mengizinkanmu tetapi dengan satu syarat!"

" Apa Syaratnya?"

" Aku mahu separuh daripada apa yang kau minta, baru kuizinkan kau masuk ke dalam!"

"Baiklah kalau begitu."

Ia semakin pedih. Sungguh pemerasan yang semena-mena. Jika ia mendapat bantuan sepuluh dirham sahaja dari khalifah, maka ia keluar istana dengan tidak mendapat apa-apa. Sebab yang setengahnya akan diminta penjaga pertama dan yang setengahnya lagi akan diminta penjaga kedua. Namun ia tetap melangkah masuk menemui khalifah. Sebaik sampai, Khalifah terus bertanya kepadanya:

" Kau dari mana dan apa keperluanmu?"

" Khalifah, aku datang dari jauh. Dari pelosok Khurasan, aku datang ingin meminta sesuatu dari khalifah dan mohon Khalifah mengabulkannya."

" Apa permintaanmu, katakanlah. Kalau aku mampu mengabulkannya."

" Khalifah, aku minta hukuman sebat seratus kali."

Tentu sahaja khalifah dan para menteri yang ada di situ terkejut mendengarnya.

" Kenapa kau meminta permintaan yang aneh? Kenapa mahu menyakiti dirimu sendiri?"

Lelaki miskin itu lalu menceritakan keadaan keluarganya, perjalanannya, keldainya yang hilang dan para pengawal yang memeras ugut tidak semena-mena. Khalifah tersenyum mendengar penuturan lelaki miskin itu.

"Baiklah, permintaanmu akan ku kabulkan dan setelah itu nanti kau akan kuberikan hadiah khusus. Menteri, tolong panggilkan dua pengawal yang kurang ajar itu kemari sekarang juga!"

Tak lama kemudian, dua pengawal itu datang dengan wajah ceria. Mereka membayangkan akan menerima hadiah dari pada khalifah atas permohonan lelaki miskin itu. Khalifah bertanya:

"Kalian kenal lelaki ini?"

" Ya, kami kenal Baginda." Jawab mereka serentak.

" Dan ia berjanji pada kalian akan memberikan setengah dari apa yang diminta?"

" Ya benar!"

" Baiklah, kalian akan menerimanya. Ia datang meminta hukuman seratus kali sebatan. Kalian masing-masing akan menerimanya lima puluh kali!"

Kedua pengawal itu tersentak lalu merayu-rayu meminta ampun dari khalifah. Namun khalifah hanya berkata:

" Kerana kalian yang meminta, maka kalian harus menerimanya. Dan lelaki ini telah menepati janjinya pada kalian. Maka jadi manusia jangan tamak!!"

Akhirnya kedua pengawal itu di iring ke tanah lapang dan disebat sebanyak lima puluh kali disaksikan rakyat jelata. Orang ramai ketawa ketika mengetahui kisah dua pengawal tersebut. Mereka sama sekali tidak kasihan. Sementara lelaki miskin itu dipanggil kembali oleh khalifah. Lelaki miskin itu mendapat hadiah khusus daripada khalifah dan pulang dengan hati yang gembira. Ia berharap tidak ada lagi manusia tamak seperti pengawal itu.

- Tamat -

Dipetik dari buku yang berjudul " Di Atas Sajadah Cinta "

2 comments:


  1. the morale of the story..org tamak selalu rugi..bagai anjing dan bayang2..hehe..mcm pengajaran cite kanak2 plk :) nway,keep up the gud work,sis!

  1. hehehe....
    btul2.. sokong..
    tibe2 rase cm best lak..
    nnti nk pos mcm2 cite lg la ..
    :P

Followers