Post info


Comments 0


Author: f_24434

Assalamu'alaikum wbt..

Yusha Evans

Saya ingin berkongsi sedikit cerita tentang pengalaman seorang pelajar yang menghadiri kuliah seorang pendakwah Muallaf yang telah bertandang ke bumi Ireland untuk tour dakwahnya di sana pada (3-12 November 2009). Tour dakwah ini adalah di bawah anjuran FOSIS IRELAND, salah sebuah persatuan pelajar Islam yang terbesar di bumi Ireland. Tempat-tempat yang dikunjunginya dalam tour dakwahnya ini ialah Dublin, Cork, Galway & Belfast.

Nama pendakwah Muallaf tersebut ialah Yusha Evans. Beliau dilahirkan pada tahun 1980 & dibesarkan oleh datuk & neneknya di Greenville, South Carolina, Amerika Syarikat. Mereka merupakan penganut setia agama Kristian Methodist. Ketika usia remajanya, beliau terlibat secara langsung & aktif dengan aktiviti-aktiviti gereja di Greenville. Beliau juga turut mempelajari kitab Injil/Bible di sebuah Kolej Bible di bandar tersebut dengan harapan dapat menyambung pelajaran di University Bob Jones, salah sebuah universiti Kristian yang terkemuka di Amerika Syarikat. Sewaktu mempelajari kitab Bible/Injil dengan teliti, beliau telah menemui banyak percanggahan dalam kitab tersebut. Lama-kelamaan beliau mula menyedari bahawa ayat-ayat dalam kitab tersebut bukanlah ayat-ayat daripada Tuhan seperti apa yang telah diajarkan kepadanya sejak dia masih kecil. Oleh itu, beliau telah mengambil keputusan untuk meninggalkan agama Kristian yang dianutinya & memulakan usahanya untuk mencari agama baru yang benar.

Antara agama-agama yang telah dipelajarinya ialah agama Yahudi, Buddha, Wicca & Bushido. Namun, agama-agama tersebut turut mengandungi percanggahan-percanggahan yang tersendiri. Pada suatu hari, beliau dengan tidak sengajanya telah berbual dengan seorang Muslim yang kemudiannya menjemputnya untuk menghadiri khutbah Jumaat di sebuah masjid di Greenville. Beliau terpegun mendengar khutbah yang disampaikan. Beliau kemudiannya berasa terharu apabila melihat cara orang-orang Muslim mengerjakan solat. Selepas selesai solat Jumaat, beliau berjumpa dengan imam yang mengetuai solat Jumaat tadi & meminta daripadanya senaskhah terjemahan Al-Quran untuk dibaca. Selepas lebih kurang seminggu membaca & memahami isi kandungan terjemahan Al-Quran tersebut, beliau kemudiannya kembali ke masjid tersebut untuk melafazkan dua kalimah syahadah. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1998, sewaktu usianya baru menjangkau 18 tahun. Alhamdulillah. Hidayah Allah SWT boleh sampai kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya pada bila-bila masa sahaja & melalui apa-apa cara sekalipun.

Pada masa kini, beliau adalah antara pendakwah-pendakwah Islam yang amat aktif di bumi Amerika Syarikat & juga Kanada. Beliau bekerjasama dengan Yusuf Estes, iaitu seorang lagi pendakwah Muallaf kelahiran Amerika Syarikat untuk menghasilkan DVD-DVD dakwah untuk disebarkan kepada umat Islam & juga yang bukan Islam di benua tersebut. Alhamdulillah, hasil daripada usaha mereka, bilangan yang memeluk agama Islam semakin bertambah dari sehari ke sehari. Mereka berdua kini sedang dalam perancangan untuk menghasilkan sebuah saluran khas yang berunsurkan Islam untuk disiarkan di kaca televisyen di Amerika Syarikat & Kanada. Sama-samalah kita berdoa agar usaha mereka ini mencapai kejayaan. Semoga agama Islam akan semakin mekar di bumi Amerika.


Yusuf Estes

Pelajar tersebut sebenarnya sudah lama mengikuti video-video dakwah Yusha Evans di internet, iaitu melalui YouTube. Walaupun baru 11 tahun memeluk Islam, semangat dakwahnya & juga ilmu agama yang dimilikinya mengalahkan kita yang Islam sejak lahir. Pelajar itu betul-betul kagum dengan semangatnya. Disebabkan itulah, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk mengikuti tour dakwahnya di Ireland pada minggu ini. Pelajar itu cuma dapat menghadiri 2 kuliahnya sahaja memandangkan dia masih sibuk dengan peperiksaan. Namun, dia cukup gembira kerana akhirnya dapat bersua muka dengan pendakwah yang menjadi kebanggaannya selama ini.

Antara kata-katanya yang agak menyebakkan hati pelajar itu adalah kami semua tidak akan dapat memahami & merasai perasaaannya sebagai seorang Muallaf kerana kami semua telah mengenali Islam sejak lahir lagi, sedangkan beliau hanya dapat mengenali agama suci ini ketika umurnya 18 tahun. Sewaktu beliau memeluk Islam, beliau berasa seolah-olah beliau telah diselamatkan oleh Allah SWT dari tebing yang menuju ke neraka. Disebabkan itulah beliau berasa beliau perlu memikul tanggungjawab untuk menyebarkan agama Allah sebagai tanda syukurnya. Perasaan ini jugalah sebenarnya yang turut dirasai oleh sahabat-sahabat Rasulullah SAW sewaktu era dakwah baginda. Mereka bersyukur kerana telah dikurniai cahaya yang mereka cari selama ini. Perasaan syukur inilah yang kemudiannya melahirkan semangat dakwah yang kuat. Dengan semangat dakwah yang kuat ini, mereka akhirnya telah berjaya menyebarkan Islam hampir ke segenap pelusuk dunia.

Disebabkan itulah dia merasai bahawa orang-orang Muallaf sebeginilah yang akan mengembalikan kegemilangan Islam. Ini kerana semangat yang mereka ada lebih kuat daripada semangat kita yang telah mengenali Islam sejak lahir. Menurut kata Rasulullah SAW, antara tanda-tanda akhir Kiamat ialah matahari terbit dari Barat. Pada pendapatnya, itu hanyalah sebuah metafor. Apa yang mungkin dimaksudkan oleh baginda ialah Islam akan terbit dari Barat. Islam besar kemungkinannya akan bangkit dari Barat, iaitu dari Amerika & juga Eropah. Ini kerana Islam pada masa kini adalah agama yang paling cepat berkembang di Barat, terutamanya selepas peristiwa 9/11. Semakin ramai orang-orang bukan Islam ingin mengenali Islam dengan lebih dekat selepas peristiwa tersebut & mereka akhirnya telah jatuh cinta dengan Islam & memeluk agama ini.

Walau apapun, mari kita semua berdoa agar segala usaha dakwah Yusha Evans akan menemui kejayaan. Semoga beliau sentiasa di bawah jagaan Allah SWT & semoga beliau dapat menjadi contoh kepada kita semua. :)

*http://jhazkitaro.blogspot.com
*

0 comments:


Followers